Ketika mempelajari usul fiqh, kita akan menemui dua bentuk sumber hukum iaitu yang disepakati dan tidak disepakati. Hukum yang disepakati ialah Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Manakala sumber hukum yang tidak disepakati pula ialah, Istihsan, masalih mursalah, Amal ahl Madinah, al-urf, al-istishab, saddu zarai', dan syar'u man qablana. Kali ini saya akan memberi pencerahan mengenai sumber hukum Al-Istihsan.
Al-Istihsan
Istihsan dalam Bahasa Arab ialah menganggap sesuatu itu baik. Manakal menurut istilah syarak pula
“berpaling seorang mujtahid dari
mengamalkan kehendak qiyas jaliy (yang nyata) kepada mengamalkan qiyas khafiy
(yang tersembunyi)”, atau “berpaling dari mengamalkan hukum
kulliy kepada hukum istithnaiy (pengecualian)”, atau “mengecualikan
masalah juziyyah daripada asal kulliy atau prinsip umu kerana terdapat dalil
yang menuntut supaya dipalingkan.”
Istihsan itu
terbahagi kepada dua iaitu :
v Mentarjih qiyas khafiy ke atas qiyas jaliy
v Mengecualikan masalah juziyyah dari prinsip yang kulliy atau kaedah
yang umum.
Penjelasan Al-Istihsan
Di dalam satu-satu masalah, berkemungkinan berlaku tarik menarik
antara dua jenis qiyas. Qiyas yang nyata segera ditanggapi oleh akal. Tetapi
jenis qiyas yang kedua, iaitu qiyas yang halus (tidak nyata) yang lambat
ditanggapi oleh akal, tetapi ia lebih kuat dari yang pertama dan akan zahir
apabila dikaji dengan teliti pada masalah itu. Lantaran itu, para mujtahid
cenderung menerima pakai qiyas kedua dan tidak beramal dengan kehendak qiyas
pertama.
Dalam masalah
yang lain, apabila seseorang mewaqafkan tanah pertanian dan tidak menyebut
beberapa hak penggunaan kemudahannya secara berterus terang, maka hak-hak
tersebut tidak termasuk dalam waqaf kerana diqiyaskan atas jual beli sepertimana
atas kehendak qiyas jaliy, kerana jual beli dan waqaf kedua-duanya bermaksud
mengeluarkan harta dari pemiliknya. Tetapi apabila diteliti dengan halus dan
terperinci, ternyata kepada kita bahawa qiyas masalah waqaf ini dengan ijarah
(sewaan) adalah lebih utama, kerana orang yang diwaqafkan kepadanya tidak
memiliki harta yang diwaqaf hanyalah yang dimiliki itu manfaatnya sahaja.
Oleh yang demikian, berdasarkan qiyas khafiy
ini, maka hak-hak tersebut akan turut termasuk dalam waqaf juga walaupun tidak
disebutkan dalam waqaf sebagai qiyas ke atas ijarah, dan kerana manfaat benda
yang diwaqaf itu tidak mungkin diperolehi dari tanah yang diwaqaf kalau tidak
dibenarkan mengguna hak-hak kemudahan yang diperlukan itu, seperti halnya dalam
ijarah.
Para mujtahid mendapati suatu dalil yang menuntut supaya dikecualikan masalah tertentu dari hukum kulli ini dan perlu diberikan suatu hukum yang khas kepadanya. Dalil pengecualian itu boleh jadi nas atau maslahah atau urf dan sebagainya.
Prinsip umum menegaskan bahawa menjual sesuatu
yang tidak ada pada seseorang itu batal kerana ia merupakan jualan sesuatu yang
tidak wujud. Tetapi salam dikecualikan dari hukum tersebut sedangkan ia menjual
sesuatu yang tidak wujud, kerana terdapat nas yang mengharuskan, iaitu hadith
Nabi SAW :
من أسلف فليسلف في كيل معلوم ووزن معلوم إلى أجل معلوم
"sesiapa yang hendak melakukan jual salaf (salam)
maka hendaklah dia salaf dalam sukatan yang diketahui
dan timbangan yang
diketahui sehingga tempoh yang diketahui” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ulama' mazhab Hanafi mengistilahkan keharusan jual salam itu sebagai istihsan kemudian mereka berkata alasan istihsan itu adalah sabda Nabi S.A.W.
Prinsip umum menegaskan bahawa orang yang
dicegahkan dari mengurus hartanya kerama bodoh dan membazir tidak sah melakukan
kebajikan dengan hartanya termasuk berwaqaf. Tetapi keharusan mewaqaf ke atas
diri sendiri untuk maslahah sebagai istihsan.
Prinsip umum terhadap harta mestilah kekal bagi
harta yang hendak diwaqafkan. Ulama’ mengecualikan prinsip waqaf benda yang
boleh dialih sebagai istihsan apabila menjadi uruf
Kedudukan Istihsan dalam perundangan Islam
Sebagai konklusi yang dapat kita simpulkan berdasarkan daripada
takrif dan jenis istihsan tadi, istihsan bukanlah sumber perundangan Islam yang
berdiri dengan sendiri kerana dalil hukum-hukum dari jenis pertama ialah qiyas
khafiy yang lebih kuat dari qiyas jaliy, dalam perhitungan mujtahid, itu alasan
istihsan.
Ulama’ tidak
sepakat mengamalkan konsep istihsan ini, walau bagaimanapun kebanyakan ulama’
Mazhab Hanafi berhujjah dengan istihsan dan mengamalkannya. Tetapi sebahagian
mujtahid yang lain menolak konsep istihsan ini dan menganggapnya sebagai
mengambil hukum syara’ berasaskan hawa
nafsu dan bersuka-suka. Menurut imam mazhab kita iaitu Imam As-Syafie di mana
beliau menyebut dalam penulisannya “siapa yang mengamalkan istihsan maka dia
mencipta hukum syara’ sendiri.”
Syaikh ‘Abd
al-Wahhab khallaf dalam buku ilmu usul fiqh berkata “memaling dari berpegang
dengan dalil yang zahir atau dari hukum kulliy kerana terdapat dalil yang
menuntut supaya dipalingkan, dan bukan sama sekali membuat hukum dengan hawa
nafsu”.
Maka dengan itu di
dalam kitab al-Muwafaqat, Imam al-Syatibi berkata mereka beristihsan atau
mengamalkan istihsan bukanlah merujuk kepada perasaan dan keinginannya,
tetapi kebanyakan daripada mereka merujuk kepada objektif-objektif syara’
seperti contoh-contoh yang disebutkan di atas, kerana jika mengamalkan
kehendak-kehendak zahir qiyas boleh membawa kepada keluputan maslahah satu segi
atau mendatangkan keburukan satu segi yang lain pula. Wallahualam
Ulasan
Catat Ulasan