Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan

Malaysia sebuah negara yang mempunyai perlembagaanya yang tersendiri. Kita sebagai rakyat Malaysia, adakah kita memahami perlembagaan yang sedia ada di Malaysia ini? Di dalam artikel ini saya akan cuba membuat kesimpulan mengenai agama Islam sebagai agama Rasmi Persekutuan.

Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan


Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran adalah sebahagian daripada pelbagai usaha Kerajaan Malaysia untuk memasukkan unsur-unsur Islam dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Malaysia. Rasional Kerajaan memberi perhatian kepada nilai-nilai khususnya nilai-nilai Islam ialah: "Dalam usaha untuk memelihara maruah Warganegara Malaysia, maka perlulah ia mempunyai satu identity yang kukuh. Dalam konteks ini, unsur yang terpenting sekali dalam pembentukan identiti Warganegara Malaysia ialah nilai. Ia merupakan satu faktor utama yang boleh memastikan kelahiran sesebuah masyarakat yang disegani. Sesuatu bangsa yang tidak mempunyai nilai kehidupan yangtertentu akan mudah menjadi mangsa kepada bangsa lain yang sentiasa berusaha mengembangkan nilai-nilainya dan dengan perkembangan ini akan dapat menguasai bangsa yang tidak mempunyai nilai-nilai yang kukuh.”
 Bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum dan agama dan menjalani cara hidup yang berbeza-beza, pengamalan nilai-nilai yang dapat diterima oleh semua rakyat adalah menjadi asas penting dalam usaha ke arah membentuk identiti dan perpaduan. Tanpa nilai yang universal ini rakyat akan terdorong untuk menerima dan menyanjung nilai-nilai lain yang sangat asing bagi masyarakat Malaysia. Ini akan menyebabkan kesetiaan rakyat Malaysia serta identitinya sebagai satu warganegara akan menjadi kabur dan maruah bangsa tidak dijunjung tinggi dan mungkin mereka akan memperkecil-kecilkan negara dan bangsa sendiri. Dengan itu rakyat Malaysia haruslah mempunyai identitinya sendiri dengan setiap individu, organisasi dan semua sektor yang melaksanakan pelbagai aktiviti menjalankan kerja yang boleh memberikan sumbangan kepada kesejahteraan negara. Urusan-urusan yang dijalankan dengan penuh rapi, teliti, amanah dan rasa bertanggungJawab boleh membawa kepada pembentukan identiti yang diperlukan oleh sesebuah Negara seperti Malaysia ini. Tanpa penerimaan nilai-nilai hidup yang mulia tidak mungkin identiti yang membanggakan dapat dicapai.

Bagi masyarakat Malaysia adalah tepat sekiranya nilai itu diasaskan kepada kehendak dan pengajaran Islam bagi membentuk sebuah negara yang produktif dan bermoral tinggi. Mungkin pada awalnya ia akan dipersoalkan menerusi kacamata agama atau budaya lain kerana memilih nilai yang diasaskan kepada satu agama sahaja. Tetapi dengan merenung kembali dan memahami negara Malaysia itu sendiri, setiap rakyat akan mendapati dan menyedari bahawa langkah untuk memilih nilai Islam itu adalah langkah yang wajar. Sebaliknya pula mereka yang tidak memahami tentang kedudukan Negara Malaysia dari segi geografi, sejarah, kebudayaan, perlembagaan dan lain-lainnya akan terus mempertikaikan perkara ini. Walaubagaimanapun, setelah melihat secara objektif, maka tidak akan ada satu sebab pun untuk menolak bahawa nilai yang berasaskan kepada agama Islam itu ialah yang paling sesuai untuk membangunkan masyarakat Malaysia umumnya. Nilai-nilai Islam itu boleh menjadi penggerak ke arah membanteras unsur-unsur keburukan yang menjadi musuh utama negara ini seperti fahaman komunis, kemiskinan, rasuah, kecuaian, kejahilan, penyelewengan dan sebagainya yang sentiasa mengancam usaha-usaha perpaduan rakyat dan pembangunan negara. 
Al-Quran juga telah menamakan agama Islam sebagai agama yang bernilai. Penamaan ini memberikan keyakinan kepada semua orang bahawa kandungan yang terdapat di dalam kitab suci Al-Quran itu adalah merupakan nilai-nilai yang mulia kerana ia merupakan bimbingan-bimbingan (hidayah) yang datang daripada Allah s.w.t. dan ditujukan kepada semua manusia, bukan sahaja kepada yang beragama Islam. Di antara bimbingan-bimbingan yang terpenting ialah perkara-perkara yang  berkaitan dengan moral (akhlak). Ini bererti bahawa apa yang dimaksudkan dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran ialah bimbingan pembentukan akhlak yang berfaedah dan berfungsi dalam kehidupan setiap rakyat menuju ke arah ketinggian maruah di samping menanam nilai-nilai yang murni dan membina ke dalam sistem pentadbiran negara.
Image result for perlembagaan malaysia

Pemilihan pentadbiran negara sebagai komponen yang pertama dalam penerapan nilai-nilai Islam adalah antara lain berasaskan tanggungjawab Kerajaan memastikan kelicinan jentera pentadbiran Kerajaan yang merupakan saluran terpenting dalam pelaksanaan sesuatu dasar. Kejayaan rancangan-rancangan yang diatur oleh Kerajaan sebahagian besarnya bergantung kepada penjawat-penjawat dalam perkhidmatan awam. Penghayatan nilai-nilai Islam oleh mereka akan menjamin kelancaran dan kecekapan jentera Kerajaan yang besar dan menghindarkan perbuatan rasuah, penyelewengan dan sebagainya

Bagi menjayakan pentadbiran Kerajaan, nilai-nilai Islam yang diutamakan boleh diamalkan oleh semua rakyat Malaysia, sama ada mereka Islam atau bukan Islam. Menurut YAB. Perdana Menteri, nilai-nilai yang diutamakan untuk pentadbiran yang boleh diterima oleh orang Islam dan bukan Islam ialah amanah kejujuran, tanggungjawab, rajin, ikhlas, tertib, disiplin, mengutamakan masyarakat lebih daripada diri sendiri, sanggup berkorban, tidak tamak, berpandangan jauh, bermoral dan berkelakuan baik dan lain-lain.

Image result for perlembagaan malaysia







Ulasan